Kenali Diri Masing-masing Dari Segi Kewangan
“Konflik kewangan di kalangan pasangan memang wujud”
Tersebut kisah luahan hati seorang sahabat kepada rakannya disebuah warung teh tarik mengenai isterinya. Ini luahan hatinya, “Semenjak perkahwinan kami 5 tahun lepas, saya cukup bengang kerana sebahagian daripada wang gaji bulanan kami akan dihabiskan untuk membeli kasut. Mungkin kerana segan untuk berbahas dengan isteri, saya bertanya kembali kepada diri saya kenapa saya bersikap begitu sehingga sensitive kepada apa yang isteri saya beli. Adakah dengan bersikap saya merasa lebih berkuasa? Akhirnya saya sedar yang saya sebenarnya tidak peduli langsung apa yang dibeli oleh isteri. Saya sebenarnya bimbang bahawa tabiat isteri saya boleh menyebabkan kekurangan wang kelak untuk menghadapi saat-saat kecemasan kelak. Malam semalam sebelum masuk tidur saya menyuarakan “kejahilan” saya kepada isteri saya. Dia sempat ketawa lalu mencadangkan kita berdialog mengenai impian kewangan masing-masing. Memang hati saya lega tetapi sedih juga sebab terpaksa mis sessi belaian malam”.
Konflik kewangan dikalangan pasangan memang wujud. Ada pasangan yang telah berkahwin bertahun-tahun tetapi Cuma hanya berbincang hal kewangan apabila terjadinya ketandusan wang. Salah seorang daripada pasangan berkenaan sepatutnya memberanikan diri untuk membincang hal kewangan dari segi angka dan juga dari segi psikologi. Apa kata semasa sama-sama memohon untuk pinjaman perumahan – si isteri mendapat tahu tentang sejarah kredit suami yang kurang baik – dan hasilnya rumah impian tidak dapat dibeli. Kalau boleh sebelum berkahwin kenalilah diri masing-masing dari segi kewangan juga disamping mengenali hati nurani, masakan kegemaran dan lain-lain.
Tanyakan partner anda tentang tabiat kewangan – contohnya corak perbelanjaan, sejarah hutang, program insurans atau falsafah pelaburan. Tentukan sejauh mana ‘partner’ anda tahu – atau tidak tahu – jika anda rasa kedua-duanya tidak cukup tahu sila ambil langkah yang berpatutan. Jangan jadi bodoh sombong. Belilah buku, ambillah seminar atau jumpa perancang kewangan.
Bincangkan bagaimana ibu-bapa anda (maksudnya kedua-dua mertua) mengurus kewangan mereka. Ada kemungkinan anda berdua mewarisi ciri-ciri dan pendekatan mengurus kewangan daripada ibu-bapa. Contohnya suami anda bagaikan Haji Bakhil sebab semasa kecil ayahnya tidak mempunyai pekerjaan tetap, jadi kehidupannya umpama kais pagi makan pagi. Anda pula sebaliknya tidak dapat mengawal perbelanjaan kerana lebih bernasib baik lahir daripada keluarga berada yang manjakan anda. Anda berdua boleh juga menentukan samada sikap masing-masing terhadap wang bersesuai dengan situasi sebagai pasangan. Antara isu-isu yang boleh dibincangkan:
1. Persaraan
Bagaimana memastikan ketika tua nanti, boleh hidup selesa tanpa bekerja atau terlalu bergantung kepada anak-anak? Duit KWSP dah banyak keluar untuk hal-hal lain – bagamana nak meningkatkan hasil pulangan daripada akaun KWSP yang sedia ada? Bagaimana boleh kurangkan perbelanjaan dan menyimpan lebih banyak untuk hari tua?
2. Tabungan simpanan
Setiap pasangan harus mempunyai tabungan sendiri. Disamping kepentingan psikologi, strategi ini akan memberikan 2 sumber untuk bergantung ketika wang tunai amat-amat diperlukan. Kalau salah satu pasangan tidak bekerja, adalah menjadi tanggungjawab yang seorang lagi menyediakan tabungan bagi pasangannya mengikut kemampuan.
3. Sekuriti
Bagaimana melindungi diri sendiri dan keluarga? Adakah mempunyai insurans perubatan dan insuran jaminan pendapatan yang mencukupi serta murah? Bagaimana kalau salah seorang sakit sementara, sakit teruk atau kehilangan keupayaan untuk bekerja? Keperluan minimum yang disyorkan ialah harus mempunyai simpanan tunai setara dengan 3 bulan perbelanjaan kehidupan (living expenses). Bahagikan tanggungjawab kewangan masing-masing. Membiarkan Cuma salah seorang pasangan mengendalikan semua hal-ehwal kewangan membawa risiko yang tinggi. Sekiranya si sia meninggal dunia atau hilang upaya kekal maka pasangannya akan terumbang-ambing, mungkin terus karam.
Tetapkan satu hari untuk ‘meeting’ kewangan di mana pasangan boleh menyedarkan dan ‘update’ masing-masing tentang status kewangan terkini. Sediakan akaun-akaun mengikut persetujuan atau corak pengurusan kewangan masing-masing. Sebagai contoh anda boleh mewujudkan satu akaun bersama untuk pembayaran semua bil-bil. Sebelum itu tentukan dulu berapa banyak sumbangan daripada anda dan pasangan anda. Untuk keperluan secara berasingan pula boleh buka akaun secara individu – ini akan memberikan sedikit ‘privacy’ dan menghindarkan pertelingkahan kelak. Setiap pasangan boleh menggunakan akaun individu ini ikut suka hati. Untuk wawasan kewangan bersama seperti rumah atau percutian bukalah akaun pelaburan bersama. Sekiranya gaji anda berdua tidak sama tidak perlu menyumbang jumlah yang sama tetapi peratusan yang sama daripada pendapatan masing-masing.
Tindakan Susulan:
Pilihlah satu masa yang sesuai untuk perbincangan di atas dengan pasangan anda. Jangan tengok TV, video atau sebarang gangguan. Yang penting disini ialah sikap terbuka, jujur dan sanggup menerima hakikat kebenaran biarpun pahit. Salah seorang mesti mengambil nota tentang perkara-perkara utama, kesimpulan dan tindakan yang akan diambil keesokan harinya.
Rujukan: majalah Mingguan Wanita
No comments:
Post a Comment