“Saya ingin menggalakkan anda menyediakan pen dan kertas serta kalkulator kerana kita akan melakukan beberapa kiraan ringkas tetapi amat mustahak. Bak kata pepatah Inggeris “Bagaimana anada boleh maju kedepan kalau tidak tahu hala mana anda berhadapan sekarang?”.
Langkah 1
Menentukan Kedudukan Kewangan Anda
Tujuan utama latihan ini adalah untuk mengira:
· Nilai bersih anda (asset ditolak liability)
· Alir tunai bersih anda (pendapatan ditolak perbelanjaan)
ASET DAN LIABILITI | RM |
Simpanan bank | 2,000 |
Simpanan Peribadi | 5,000 |
Simpanan Tunai | 1,000 |
Pinjaman Rumah | 75,000 |
Nilai Tunai Polisi Insuran | 500 |
Pinajaman Kereta | 20,000 |
Simpanan Pelaburan Amanah Saham | 15,000 |
Pinjaman Kad Kredit | 3,000 |
KWSP | 40,000 |
Rumah Kediaman | 100,000 |
Kereta | 42,000 |
Lain-lain | 10,000 |
Jumlah Aset | 210,500 |
Jumlah Liabiliti | 103,000 |
Nilai Bersih (Net Worth)
Aset – Liabilti =
210,500 – 103,000 = Positif 107,500.
Dalam contoh di atas nilai bersih ialah positif satu petanda baik tetapi kita masih perlu melihat keadaan alir tunai. Sekiranya nilai bersih anda adalah hampir sifar atau negetif, ini menunjukkan kedudukan kewangan agak lemah dan perlu diperbaiki. Biarpun apa kesudahannya anda perlu menerima hakikat dan maju ke depan. Tiada guna mengamal mentality “tidak mengapa”.
Sekarang mari kita lihat pengiraan Alit Tunai pula. Format sama seperti di atas, Cuma sekarang “ASET” digantikan dengan “pendapatan” manakala “LIABILITI” digantikan pula dengan “Perbelanjaan”. Anda boleh menyediakannya dengan mengikut secara bulanan ataupun tahunan. Buat masa ini memadai dengan mencongak sahaja tetapi untuk lebih tepat anda perlu menyimpan rekod sekurang-kurangnya 3 bulan.
RM | ||
Gaji | 1,500 | |
Sewa Rumah / Ansuran | 500 | |
Komisen | 3,000 | |
Ansuran Kereta | 300 | |
Bayaran Kad Kredit | 250 | |
Bil Elektrik dan Air | 250 | |
Tambang dan Tol | 100 | |
Servis Kereta | 200 | |
Premium Insuran | 150 | |
Cukai Pendapatan | 100 | |
Perubatan | 100 | |
Makanan | 600 | |
Pakaiaan | 200 | |
Lain-lain | 600 | |
Jumlah Pendapatan | 4,500 | |
Jumlah Perbelanjaan | 3,350 |
Nilai Alir Tunai (Cash Flow)
Pendapatan –Perbelanjaan =
4,500 – 3,350 = Positif 1,150.
Menilai kedudukan Alir Tunai boleh membantu anda untuk meninjau 4 isu:
· Kebolehan anda untuk menyimpan wang
· Gaya hidup yang anda boleh turuti dengan selesa
· Samada anda hidup di atas hutang atau tunai sebenar
· Menyiasat kes-kes yang luar dari kebiasaan bil elektrik dan telefon yang terlalu tinggi.
Sekiranya anda dapati bahawa nilai bersih dan alir tunai anda agak kronik (negetif), seorang perancang kewangan perlu membantu anda mengaudit kedua-dua “penyata akaun” serta memimpin anda untuk membaik pulih kedudukan kewangan anda. Cadangan ini saya syorkan kepada anda yang akan atau sudahpun mempunyai hutang kad kredit yang diluar kawalan.
Langkah 2
Menetapkan Matlamat Kewangan
Menetapkan matlamat kewangan sememangnya satu latihan mental yang sukar dilakukan. Memang susah untuk meluangkan sedikit masa dalam kesibukan tugas untuk duduk dengan tenang, sambil menulis di atas sekeping kertas wawasan kewangan anda 5 tahun ke hadapan. Berikut ialah dialog satu sesi temujanji diantara seorang perancang kewangan dan bakal pelanggan:
Penasihat Kewangan | : | HHmmm, apa perancangan anda untuk 5 hingga 15 tahun akan datang? |
Pelanggan | : | Hhhmmmm….. entah lah , sadya sebenarnya tak terfikir langsung |
Penasihat Kewangan | : | Nak bersara ke? |
Pelanggan | : | Tentulah, tapi tak pasti bila. |
Penasihat Kewangan | : | Ada perancangan untuk membuat belian besar? |
Pelanggan | : | Mungkin |
Penasihat Kewangan | : | Rumah kedua ke? Kereta ke? |
Pelanggan | : | (Mata mula bersinar-sinar) Saya dan isteri ada beli tanah di… Kita ada berbincang tentang nak bina rumah di tanah itu dan bersara kelak. HHmmmm bila umur saya 58 tahun. |
Lihat sendiri bagaimana Penasihat Kewangan terpaksa “mengorek” untuk membantu pelanggan mengenal pasti impiannya dalam perkataan. Kadang-kadang temu duga dengan pelanggan boleh berlanjutan sehingga 3 jam sebelum penasihat kewangan dapat memahami keperluan “jiwa kewangannya”. Berikut adalah contoh-contoh wawasan kewangan yang telah disuarakan oleh pelanggan lain:
· Saya suka melancung dan saya nak buat satu trip setiap tahun bermula pada umur 45 tahun.
· Saya ingin menyediakan wang untuk pendidikan peringkat PhD bagi kedua-dua anak saya.
· Dah benci kerja kuli, saya nak berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri dalam masa 2 tahun.
· Saya ada 2 isteri, 2 anak tiri, dan seorang anak angkat yang kurang upaya, bagaimana saya nak pastikan yang harta saya dibahagikan antara mereka dengan adil, terutamanya anak angkat saya.
Cuba senaraikan mengikut kepentingan (1 hingga 10, 1 = paling penting dan 10 = tidak penting)
“Kalau kawasan andda tidak sesuai dengan senarai ini anda boleh menulis senarai anda sendiri, katakana ada 5 baris dan beri keutamaan mengikut kepentingan ( 1 = paling penting dan 5 = tidak penting)”
Wawasan | Kepentingan 1-10 |
1. Memastikan keluarga saya mengekalkan taraf hidup mereka yang sekarang andainya saya meninggal | |
2. Merancanakan dpelan pelaburan sistematik untuk mengatasi inflasi | |
3. Mempunyai program insuran pendapatan dan perubatan yang mencukupi bagi keluarga agar duit simpanan tidak terancam dan tidak perlu meminta belas kasihan orang ramai. | |
4. Membanteras hutang kad kredit dan sekaligus membaik pulih aliran tunai agar tidak terasa lemas setiap bulan | |
5. Menyusun semula system pinjaman perumahan supaya jangka masa dipendekkan dan jumlah bayaran faedah untuk jangka masa pinjaman dapat dikurangkan | |
6. Memastikan harta peninggalan dibahagikan mengikut kehendak saya dan bukannya oleh pihak-pihak tertentu termasuk kerajaan | |
7. Memastikan saya boleh bersara dengan selesa tanpa bekerja sepenuh masa atau bergantung kepada anak-anak | |
8. Merancang program cukai pendapatan saya supaya bayaran cukai dapat diminimumkan | |
9. Menyediakan tabungg amanah untuk badan-badan kebajikan / amal tertentu | |
10. Menyediakan tabung khusus untuk ibu-bapa bila mereka sudah tua atau gagal menjalankan aktiviti seharian yang biasa. |
Tindakan Susulan:
Cuba pilih wawasan kewangan yang anda betul-betul minat sehingga mampu menguja semangat anda. Kalau boleh libatkan keluarga bersama. Sama ada wawasan tersebut akan berjaya atau tidak, ianya perkara kedua. Selepas berjaya memperoleh satu senarai wawasan, baca akan wawasan tersebut sebelum tidur.
Langkah 3
Manyediakan Rancangan Tujuan Untuk Wawasan Anda
Diharap anda telahpun menyediakan senarai wawasan kewangan yang disusun mengikut kepentingan. Seterusnya kita akan kaji bagaimana menyediakan rancangan untuk mencapai matlamat anda. Semasa penyediaan 3 perkara sentiasa dperlu diingat iaitu PERCUKAIAN, MUDAH CAIR (liquidity) dan KEBOLEH LENTURAN (flexibility) rancangan yang anda bina.
Pencukaian
Bermaksud kalau boleh cuba meminimumkan kos cukai yang bakal ditanggung tetapi jangan samopai menjejaskan ciri-ciri MUDAH CAIR atau KEBOLEH LENTURAN.
Mudahcair
Sangat penting apabila timbul keperluan untuk kecemasan tertentu atau untuk “pusingan” wang terutamanya bagi ahli perniagaan. 2 sistem yang biasa digunakan ialah system kad kredit dan tabung bank setara dengan 3-6 bulan perbelanjaan hidup harian.
Kebolehlenturan
Perjalanan hidup kita tidak tetap dan sering berubah-ubah maka ciri KEBOLEHLENTURAN amat mustahak. Sebagai contoh isu-isu seperti kelahiran anak, kematian, penyakit dan perkahwinan boleh mengubah wawasan asal anda. Kedudukan kewangan juga dipengaruhi oleh pertukaran kerja, inflasi dan pulangan pelaburan.
Semasa merancang pelan ini janganlah bergantung kepada ingatan atau masuk dalam kepala sahaja. Bagi anda yang mempunyai computer boleh menggunakan perisian “Excell” atau “Words” untuk merancanakan pelan anda. Bagi mereka yang tidak ada gunakan pen dan kertas. Dokumentasi amat penting dalam membuat rujukan pada masa akan datang tidak kira samada dalam bentuk “softcopy” atau “hardcopy”.
Wawasan Jankamasa Pendek Langkah dan Tindakan
1. Membayar hutang-hutang kad kredit
· Mengurangkan makan diluar
· Tangguhkan perlancungan
· Tangguhkan pembelian kereta baru
· Gabungkan pinjaman rumah dank ad kredit
2. Memulakan simpanan sistematik
· Analisis kembali alir keluar wang
· Uruskan potongan gaji atau daripada kad kredit
· Buka akaun Pelaburan Unit Amanah
3. Memulakan tabung kecemasan
· Mendapatkan Overdraft
· Menjual semua barang lama (garage sale)
4. Mendapatkan insuran pendapatan
· Jumpa perancang dan bayar tunai
· Pilih siapa pewaris / penama
5. Memohon kad hospital tanpa tunai
Cari harga yang berpatutan dan buat bayaran secara tunai
6. Mengurus akaun KWSP
· Pergi pejabat KWSP buat semakan terkini
· Lantik penama baru atau tambahan
· Jumpa perancang untuk perpindahan ke tabung Pelaburan Unit Amanah mengikut syarat-syarat terkini.
Nah sekarang anda sudah bersedia untuk melaksanakan “karya agung” anda. Tanya naluri anda sendiri samada ada anda boleh melaksanakan sendiri atau memerlukan bantuan professional pada tahap-tahap tertentu. Apapun anda MESTI menyinsing baju di lengan dan mengorak langkah pertama. Satu lagi pesanan jangan lupa “rakan kongsi” anda. Manusia merancang tetapi Yang Maha Esa menentukan – oleh itu selepas menyediakan rancangan anda, mintalah bantuan Tuhan untuk memberikan semangat dan rezeki agar impian anda tercapai.
Langkah 4
Menyimpan Rekod
Leceh! Banyak kerja! Bila gaji dah besar baru mula! Mungkin ini fikiran yang disuarakan oleh hati anda bila memikirkan tentang menyimpan rekod kewangan. Memang betul tugas ini tidak menyeronokkan namun perlu dilakukan kerana 2 sebab:
Sebab Pertama:
Terutamanya bagi mereka yang membayar cukai pendapatan, perlu mengasingkan antara perbelanjaan peribadi dan perniagaan. Tanpa rekod juga mustahil menyediakan ukuran perbandingan untuk belanjawan anda (isu belanjawan akan di rungkai dalam artikel yang lain)
Sebab Kedua:
Membolehkan anda mengetahui bagaimana, di mana dan berapa laju anda membelanjakan gaji hasil titik peluh anda atau lebih teruk lagi wang simpanan. Anda secara tidak langsung membina “loceng amaran” tetang masalah-masalah kewangan yang bakal muncul dalam hidup anda.
Pilihan Menyimpan Rekod
Terdapat beberapa pilihan tentang format dan kaedah untuk menyimpan rekod kewangan. Yang penting ialah anda harus memilih cara yang sesuai dengan personality dan tabiat kewangan anda sendiri. Biar apa pun caranya rekod seperti resit tunai, kemasukan dan pengeluaran cek, penyata kad kredit dan sebagainya perlu difailkan dahulu. Kemudian anda boleh menggunakan buku dan kertas atau perisian computer untuk memindahkan maklumat daripada fail ke bentuk yang berjadual.
Menggukan Maklumamt Rekod Anda
Di tahap inilah anda terpaksa berhadapan dengan kenyataan diri anda, samada anda seorang yang boros, bersikap bakhill atau agak OK. Semua bukti diberikan dalam hitam putih di depan mata anda sendiri. Untuk menganalisis maklumat anda, cuba kategorikan perbelanjaan anda contohnya mengikut penyata alir tunai anda dari langkah 1 Menentukan Kedudukan Kewangan Sekarang. Penyata alir tunai untuk bahagian perbelanjaan sahaja diberikan di bawah.
Kategori Perbelanjaan | RM | % |
Sewa Rumah / Ansuran | 500 | 15 |
Ansuran Kereta | 300 | 9 |
Bayaran Kad Kredit | 250 | 7 |
Bil Elektrik dan Air | 250 | 7 |
Tambang dan Tol | 100 | 3 |
Servis Kereta | 200 | 6 |
Premium Insurans | 150 | 5 |
Cunkai Pendapatan | 100 | 3 |
Perubatan | 100 | 3 |
Makanan | 600 | 18 |
Pakaian | 200 | 6 |
Lain-lain | 600 | 18 |
JUMLAH | 3,350 | 100 |
Dalam praktis, seorang perancang kewangan akan pergi lebih jauh dengan menganalisis perbelanjaan pelanggan berhubung dengan 2 perkara iaitu piawaian umum (objectives norm) dan wawasan serta nilai hidup (goals and value). Anda boleh menggunakan kedua-dua teknik tersebut. Piawaian Umum biasanya diukur secara peratus. Jika anda mendapati perbelanjaan tambang anda ialah 50% daripada perbelanjaan keseluruhan sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena. Bukankah anda lebih baik diberi amaran lebih awal daripada bangun suatu hari dan mendapati diri anda muflis.
Teknik yang kedua di atas adalah anda perlu bertanya kepada naluri anda samada corak perbelanjaan anda adalah sesuai dengan nilai hidup dan wawasan kewangan anda. Contohnya katakana anda memilih sebuah kereta lama yang sering mendatangkan masalah tetapi anda tidak mahu membeli kereta baru kerana ingin simpan wang untuk baik pulih rumah. Kereta lama yang bermasalah intu mungkin menjadi satu ancaman kepada keselamatan keluarga anda. Jadi memang wajar anda bernelanja lebih untuk menukar kereta dan menunda tabungan untuk wawasan anda.
Tindakan Susulan:
Latihan ini amat bermanfaat bagi mencari jalan menyelamatkan duit anda daripada terlebih belanja. Cuba kumpulkan semua bil atau resit, kenal pasti setiap aliran wangdan cuba anggarkan satu nilai kalau tiada resit. Selepas mengira peratusan, Tanya diri anda apa yang boleh dilakukan untuk mengurangkan peratusan perbelanjaan dalam kategori berkenaan.
Langkah 5
Menyedialan Belanjawan
Anda telah menilai kedudukan kewangan anda, menetapkan matlamat kewangan anda, menyediakan rancangan tuju dan menyimpan rekod yang sistematik tentang pendapatan dan perbelanjaan anda.
Sekarang anda perlu mengawal aspek kewangan anda sebagai contoh mengetahui apa perbelanjaan anda dan kenapa wujudnya perbelanjaan berkenaan. Sebaik-baiknya pengetahuan ini dikekalkan secara berterusan dan juga boleh dikemas kini dari masa ke semasa. Disinilah belanjawan boleh membantu anda. Di bawah ini merupakan salah satu contoh belanjawan yang mudah diambil daripada jadual perbelanjaan lepas. Perbezaan di antara belanjawan dan jadual perbelanjaan adalah dari segi sejarah. Belanjawan BUKAN satu REKOD SEJARAH perbelanjaan/pendapatan anda tetapi ianya adalah satu rujukan (benchmark) untuk perancangan PERBELANJAAN anda.
Perbelanjaan | Sebenar | Sasaran | (+/-) |
Sewa Rumah/Ansuran | 500 | 500 | 0 |
Ansuran Kereta | 300 | 300 | 0 |
Bayaran Kad Kredit | 250 | 200 | -50 |
Bil Elektrik dan Air | 250 | 200 | -50 |
Tambang dan Tol | 100 | 150 | +50 |
Servis Kereta | 200 | 200 | 0 |
Premium Insurans | 150 | 150 | 0 |
Cukai Pendapatan | 100 | 100 | 0 |
Perubatan | 100 | 200 | +100 |
Makanan | 600 | 450 | -250 |
Pakaian | 200 | 150 | -50 |
Lain-lain | 600 | 500 | -100 |
JUMLAH | 3,350 | 3,100 | -350 |
Mari kita lihat Jadual Belanjawan di atas, jajaran SEBENAR diambil daripada rekod yang telah anda simpan sebelum ini, jajaran SASARAN ialah perancangan perbelanjaan anda. Jajaran (+/-) menunjukkan sejauh mana pesongan perancangan anda. Contohnya untuk bayaran kad kredit pesongan dikira sebagai 200 (SASARAN) tolak 250 (SEBENAR) bersamaan negetif 50 (-50). Anda juga boleh mengukur pesongan dalam bentuk peratusan.
Anda boleh menyediakan belanjawan anda secara computer atau kaedah pen-kertas. Belanjawan adalah satu dokumen yang dinamik di mana anda mungkin perlu mencuba beberapa kali untuk mendapat satu “fesyen” belanjawan yang sesuai dengan dituasi anda. Untuk “first timer” mulakan dengan anggapan konservatif, jangan buat komitmen kewangan yang terlalu besar dan berdisiplin dalam memantau belanjawan anda. Lama-kelamaan saya pasti anda sudah boleh membebaskan lebih banyak wang anda untuk wawasan kewangan yang baru. Ingatlah, belanjawan yang paling “cantik” tidak akan berniali satu sen pun jika anda tidak memperdulikannya.
Tindakan Susulan:
Apa yang anda lakukan ini pada dasarnya sama dengan perancangan belanjawan Negara oleh ahli-ahli ekonomi satu-satu Negara. Tanpa kita sedari setiap orang melakukan belanjawan peribadi dengan bijak, ekonomi Negara kita akan lebih sihat, tidak perlu bergantung kepada hutang Negara luar. Oleh itu lakukannya sekarang.
Langkah 6
Membaik Pulih Hutang-Piutang
Saya ingin mengajak saudara dan saudari semua mengisyhtiharkan PERANG – ya! PERANG terhadap semua jenis hutang yang akan muncul dalam hidup anda. Peperangan ini mesti dimenangi oleh pihak anda, kalau tidak anda akan menjadi hamba abdi selama-lamanya kepada organisasi atau individu yang menawarkan hutang. Seperti mana-mana peperangan anda perlu mengenali “musuh kewangan anda” dan “senjata-senjata” yang sesuai digunakan sebelum berhadapan dengannya.
Satu Peringatan:
Anda hutang yang baik dan yang buruk. Hutang yang baik biasanya diambil untuk membiayai asset seperti perniagaan, rumah dan pelajaran. Ini mengandaikan anda telah terlebih dahulu membuat penilaian bagi memastikan yang tindakan untuk menerima hutang tersebut akan menghasilkan pulangan di masa akan datang. Hutang-hutang lain merupakan hutang buruk – iaitu hutang untuk membeli barangan yang nilainya akan mnyusut mengikut masa.
Bagaimana kita boleh terjerumus di dalam hutang sehingga menganggap “hutang keliling pinggang” sebagai trend zaman moden ini. Tersebutlah kisah hikayat si awang sulung mengambil pinjaman perumahan, satu hutang baik. Pada mulanya terasa juga budget lari, tetapi selepas beberapa tahun dah jadi biasa. Kemudia awang membeli kereta untuk pergi bekerja sebab tidak sanggup berdiri di dalam bas dan LRT. Berkat usaha rajin Awang Sulong, dinaikkan pangkat, jadi perlulah pembelian barang peningkatan mutu hidup seperti ASTRO (TV Satelit), penyaman udara, pemanas air dan barangan berjenama. Melalui rakan sepejabat Awang dapat tahu ada satu kad plastic macam ATM yang membolehkan semua barangan idamannya dinikmati sekarang tapi bayar kemudian. Walaupun bangga dan gembira dengan hartanya Awang merasai perubahan dalam hidupnya – wang simpanannya makin berkurangan, bila dapat gaji selalu sahaja habis, peti pos yang dulunya kosong, kini ada banyak “suratrasmi” berbahasa indah meminta wang. Masa lapangnya pula terpaksa digunakan untuk mencari pendapatan tambahan, sehinggakan tabiat balik kampong hujung minggu terpaksa dibatalkan.
Mungkin ramai antara pembaca sebenarnya kenal benar dengan Awang Sulong di atas. Mungkin juga ramai yang mempertahankan Awang dengan mengatakan bahawa kehidupan sedemikian serasi di zaman moden ini dan sememangnya hutang tidak dapat dielakkan. Secara tegas saya mengatakan keadaan seperti Awang TIDAK OK sama sekali. Apa yang OK ialah membaut hutang baik, Cuma satu hutang buruk dan menguruskan semua hutang tak kira baik atau buruk. Istilah MENGURUS bukan bermaksud membayar tepat pada masa atau menyusun penyata pembayaran (biling) dalam fail, tetapi betul-betul mengurus. Sekarang tibalah masa untuk mengenali “Senjata-senjata” yang perlu digunakan pula. Setiap senjata di bawah boleh dilancarkan secara berasingan atau digabungkan bersama untuk menghasilkan kesan yang lebih hebat.
Mengurangkan Perbelanjaan
Satu penyelesaian yang ketara tetapi sukar untuk dilakukan disebabkan oleh tabiat manusia yang tamak. Kategori perbelanjaan yang sepatutnya disiasat ialah hiburan, perjalanan dan perlancungan, pakaian, hadiah, kereta baru dan pengubah suaian rumah. Semasa melakukan proses penyiasatan ini Tanya soalan-soalan berikut:
· Adakah mungkin “keperluan” anda sebenarnya “kehendak”?
· Bolehkah perbelanjaan “keperluan” anda dikurangkan lagi?
· Apakah mungkin gaya hidup anda sekarang sebenarnya tidak sesuai dengan pendapatan anda?
Membayar Pinjaman Kad Kredit
Dmelupuskan pinjaman kad kredit merupakan kaedah serampang 2 mata. Anda bukan sahaja mengurangkan bebanan anda tetapi sebenarnya anda juga memperoleh pulangan pelaburan. Contohnya jika anda melupuskan hutang kad kredit yang memberikan faedah 1.5% sebulan (18% setahun), ini setara setara dalam melabur dalam satu instrument kewangan yang memberikan dividen 18% setahun. Andai kata anda tidak dapat melupuskan hutang ini secara terus, gunakan cara beransur – gandakan bayaran bulanan asal supaya jumlah faedah (interest) dapat dikurang secepat mungkin.
Konsolidasi atau Pindahan Hutang
Langkah ini boleh digunakan seandainya ada hutang yang susah dilupuskan. Cara ini bertujuan untuk mengurangkan kos hutang anda. Contoh strategi pindahan – carikan kad kredit yang lebih murah (umpamanya tiada yuran tahunan langsung) dan gunakan kad kredit ini untuk membayar terus pinjaman kad kredit lama. Contoh strategi konsolidasi – “refinance” rumah untuk mendapat pinjaman bagi membayar semua hutang yang ada, kemudian serviskan pinjaman perumahan baru pada satu kadar faedah yang telah ditetapkan. Cara ini amat berkesan tetapi pastikan kos baru untuk mendapatkan pinjaman tersebut tidak menjejaskan belanjawan anda. Disebabkan terdapat banyak pilihan pinjaman perumahan sekarang, anda digalakkan meminta nasihat kewangan untuk mengkaji perbandingan pengiraan bagi kaedah “refinance” yang terbaik.
Gunakan Wang Simpanan
Sekiranya wang simpanan anda mencukupi, anda boleh menggunakan sumber ini untuk melupuskan hutang yang berkos tinggi seperti kad kredit. Tetapi pastikan anda mempunyai sekurang-kurangnya dana kecemasan yang setara dengan 6 bulan perbelanjaan anda sebelum mencuba strategi ini.
Pinjaman Keluarga
Kalau sudah terdesak anda boleh gunakan strategi ini dengan satu syarat demi kebaikan si peminjam. Contohnya anda meminjam daripada keluarga anda untuk membayar hutang kad kredit atau along pada kadar 18 peratus setahun, bayarkan balik kepada mereka dengan kadar faedah tertentu contohnya 7 peratus setahun. Kalau boleh untuk menyedapkan hati keluarga anda sediakan satu perjanjian bertulis mudah supaya semua pihak berpuas hati.
Tindakan Susulan:
Buat senarai semua hutang-hutang anda dan pilih yang mana boleh diatasi dengan strategi di atas. Kemudian keesokannya ambil tindakan untuk menjalankan strategi pilihan anda.
Langkah 7
Pemantauan Prestasi Kewangan Anda
Kursus kewangan kilat 7 langkah ini menghampiri garisan penamat. Langkah terakhir ialah mengimbas kembali (memantau) keadaaan kewangan anda dan kemudian mengulang kembali langkah-langkah 1 hingga 6.
Langkah 1: Menentukan kedudukan kewangan sekarang
Langkah 2: Menetapkan matlamat kewangan
Langkah 3: Menyediakan rancangan tuju
Langkah 4: Menyimpan rekod
Langkah 5: Menyediakan belanjawan
Langkah 6: Membaik pulih hutang piutang
Kekerapan melakukan pemantauan dbergantung kepada situasi kewangan dan kematangan pemikiran kewangan. Dalam kebanyakan kes pemantauan tahunan biasanya mencukupi. Sekiranya anda baru sahaja berjinak-jinak dengan proses 7 langkah ini, lebih kerap penkajian semula lebih bagus. Begitu juga jika anda sedang menggunakan proses ini untuk menyelesaikan masalah kewangan yang sudah wujud. Dalam kes-kes seperti ini pemantauan secara mingguan atau bulanan lebih membawa kesan.
Siatuasi-situasi Yang Mewajibkan Kajian Semula
· Perkahwinan
· Kelahiran anak
· Kematian waris atau ahli keluarga
· Penceraian suami isteri
· Hilang upaya bekerja (contohnya lumpuh)
· Keadaan kesihatan yang bertambah teruk
· Penerimaan harta pusaka seperti tanah, wang atau barang kemas
· Penukaran dan pemberhentian kerja
· Memulakan perniagaan baru
· Bersara.
Cadangan Soalan-Soalan yang ditanya?
1. Adakah situasi percukaian anda telah berubah?
Bagi mereka yang pertama kali membayar cukai pendapatan, perancangan cukai pendapatan, dan cara pengiraan cukai berjadual mesti dipelajari. Strategi perancangan kewangan anda kini perlu mengambil kira kaedah-kaedah simpanan yang boleh memberikan pembayaran cukaii yang paling minimum. Bagi mereka yang sedang membayar cukai, dan akan berkahwin pula, anda perlu meninjau samada kaedah pembayaran secara bersama atau berasingan lebih menguntungkan.
2. Adakah wawasan kewangan anda telah berubah?
Contohnya anda berhajat membeli rumah teres (landed properties) tetapi terpaksa bertukar kepada kondominium. Atau anda merancang untuk menyediakan tabung pendidikan untuk seorang anak sahaja tetapi Tuhan mengurniakan anak kembar
3. Adakah perbelanjaan dan pendapatan anda mengikut belanjawan yang dirancang?
Contohnya belanjawan yang anda rangkakan dahulu mungkin terlalu optomistik sehingga tidak tercapai meskipun 3 bulan telah berlalu. Inilah tandanya anda perlu memantau kembali seluruh system kewangan anda termasuklah belanjawan, pendapatan dan perbelanjaan.
4. Apakah kadar pulangan pelaburan / simpanan yang anda hajati tercapai?
Simpanan dan pelaburan anda biasanya disebarkan di dalam beberapa instrument seperti ASB, Tabung Haji, Simpanan Tetap (FD), Saham Ekuiti atau Unit Amanah (Unit Trust). Jika anda dapati kadar pulangan yang diharapkan tidak setimpal dengan pulangan sebenar maka agihan asset anda perlu dibina semula dengan berpandukan tahap risiko dan kadar pulangan harapan yang baru.
Seperti mana yang telah ditekankan dalam artikel-artikel lepas, “membaca” sahaja tanpa “membuat” tidak akan memberikan apa-apa manfaat. Jika kita menganggap situasi kewangan keluarga kita umpama kapal yang sedang belayar, sudah tentu sebagai nakhoda perlu melihat halangan-halangan di samudera disamping memeriksa kalau ada kebocoran tempatan.
Tindakan Susulan:
Sebelum membaca artikel seterusnya pastikan anda telah melakukan semua proses dalam ketujuh-tujuh langkah di atas. Kalau terus melompat sebab nak cepat anda pasti akan menjadi ulat buku sahaja sebab hanya ingin membaca dan tidak disertakan dengan tindakan praktikkanya.
Rujukan: Majalah Mingguan Wanita
No comments:
Post a Comment