“System pendidikan kita baik diperingkat rendah, menengah dan university telah lupa untuk menerapkan satu pengetahuan praktikal yang amat penting iaitu Pengetahuan Kewangan terutamanya Pengurusan Hutang dan Pelaburan”
Hasilnya kita saban hari boleh membaca kisah berbagai mangsa penipuan dan hutang –piutang baik yang sah atau tidak sah. Kanak-kanak yang akademiknya bagus tidak dapat menyambung pelajaran ke menara gading kerana ibu-bapa tidak dididik untuk menyediakan tabung pendidikan. Warga tua yang tidak berdaya dan uzur sepatutnya bersara tetapi terpaksa bekerja kerana wang pencen atau KWSP tidak mencukupi untuk persaraan.
System pendidikan kita yang begitu canggih dan berorientasikan peperiksaan, mengajar subjek sejarah, perdagangan dan matematik tetapi tidak mengajar bagaimana system kapitalis bermula, berkembang dan menggerakkan ekonomi kita. Sejarah perkembangan syarikat-syarikat perniagaan di Negara kita sekarang dan dahulu tidak disentuh, walhal ramai rakyat termasuk datuk, nenek malahan ibu bapa kita telah dibesarkan dengan hasil gaji imbuhan majikan.
Matematik dan sains rumah tangga diajar tetapi di mana dia bab tentang mengapa menabung daripada kecil boleh menghasilkan jutawan muda. Atau bagaimana ilmu hisab yang mudah boleh digunakan untuk membina cerita tentang sesebuah syarikat di bursa saham, mengenal pasti samada syarikat ini akan berjaya atau tidak dalam perniagaannya dan patutkah melabur dalam saham syarikat ini.
Semangat patriotic sebagai bangsa Malaysia diserapkan disemua peringkat pendidikan tetapi lebih bercorakkan politik dan kerajaan. Tidak disebut langsung tentang semangat patriotic ribuan ahli-ahli perniagaan baik kecil mahupun besar yang merupakan tunggak kekayaan dan kekuatan Negara kita. Sekiranya tiada pelabur untuk menyediakan wang bagi pembentukan syarikat baru, pembesaran syarikat lama, penghasilan teknologi yang lebih cekap serta penyediaan kerja bagi jutaan rakyat, maka sudah pasti ekonomi Negara kita akan ranap perlahan-lahan.
Mempelajari akan ilmu kewangan terutamanya pelaburan sememangnya menyeronokkan dan begitu praktikal dalam kehidupan seharian kita semua. Dengan ilmu ini anda boleh memulakan perjalana kearah kekayaan sehingga perut menjadi boroi atau pandangan mata semakin kabur.
Dalam masyarakat kita, tanggungjawab kewangan secara tradisional diserahkan kepada kaum Adam dan kaum Hawa Cuma memandang sebagai pemerhati. Seorang wanita boleh melakukan aktiviti kewangan (seperti pelaburan) sebaik orang lelaki. Kadang-kadang lebih baik kerana wanita dikurniakan beberapa sikap yang amat sesuai untuk menjadi seorang pelabur. Jadi kalau anda mendengar penyata “Cuma yang educated dan pandai sahaja boleh menjadi pelabur” ingatlah itu satu dongengan yang karut.
Hukum-hukum kewangan mudah sahaj untuk difahami. Yang pertama ialah pelaburan bermula dengan simpanan. Duit bawah bantal dan tabung buluh bukan pelaburan tetapi kalau dipindahkan ke bank, menajdi bon atau unit amanah serta saham syarikat – kini ianya sudah di laburkan. Duit yang anda labor ini akan digunakan oleh orang lain untuk membeli rumah, kilang, bangunan yang mana menghasilkan pelerjaan. Lebih pekerjaan lebih baik imbuhan untuk para pekerja. Sekiranya pelabur ini dapat melabur wang simpanan mereka – maka roda pusiongan wang ini berjalan semula.
Tidak dapat dinafikan bahawa adalah penting untuk mendapat pendidikan yang baik supaya dapat pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan. Apa yang mungkin kita tidak sedari ialah kekayaan seseorang di masa akan datang bukan bergantung kepada bilangan angka di dalam gaji atau pendapatannya. Hakikatnya ianya bergantung kepada berapa banyak wang yang mampu disimpan dan “wang bekerja” untuk anda. Dalam erti kata lain simpan dan seterusnya dilaburkan.
Sememangnya masa yang terbaik untuk memulakan melabur ialah pada usia muda, kalau boleh pada masa kanak-kanak. Namun demikian pengenalan kepada konsep kewangan tidak semestinya untuk golongan muda sahaja. Sesiapa sahaja yang keliru dan kurang arif tentang asas-asas pengetahuan kewangan boleh mempelajarinya. Buktinya anda yang sedang membaca blog ini. Tidak kira apa pendidikan, jantina atau IQ anda, anda boleh mempertingkatkan IQ kewangan sehingga ke taraf yang dibanggakan. Para pembaca yang sudah bersara atau berpangkat “senior citizen” pun patut belajar melabur dan seterusnya mengajar orang muda ilmu kewangan seperti kenapa orang muda patut lebih banyak menyimpan daripada menghabiskan wang mereka.
Segala-galanya bergantung kepada sikap anda – kalau anda rasa terlalu rendah diri sehingga memperkecilkan kebolehan anda sendiri maka sampai bila-bila pun anda akan dibelenggu kejahulan kewangan. Tepuk dada tanyalah selera.
No comments:
Post a Comment